31 December 2008

ARNAB & KURA-KURA



Arnab & Kura-Kura diilhamkan daripada cerita dongeng klasik arnab dan kura-kura yang telah diketahui dan diterima masyarakat Malaysia dan dunia sejak dulu lagi.

Cerita ini berkisar tentang kehidupan harian Kuntum si arnab, Chot si kura-kura, Atan si monyet dan Kwek si anak itik. Kwek merupakan seekor anak itik yang menjadi adik angkat pada Kuntum. Mereka semua berada dalam lingkungan umur 7 hingga 9 tahun, bersekolah dan hidup bermasyarakat.

Kuntum merupakan seekor arnab betina yang agak aggressive, cepat bertindak dan bijak. Namun, sikap cepat bertindak ini sering membawa kepada kesilapan. Chot pula merupakan seekor kura-kura yang sabar, berhati-hati dan takut mencuba perkara baru. Pertentangan sikap mereka menjadikan jalan cerita lebih menarik.

Atan, si monyet yang liar dan nakal pula adalah watak yang memeriahkan lagi cerita. Watak Kwek seumpama adik kepada Kuntum. Walau sering menurut dan mengikut kehendak Kuntum, Kwek kadang-kadang menjadi duri dalam daging yang sentiasa melaporkan sikap Kuntum pada ibunya.

Arnab & Kura-Kura juga dikuatkan dengan watak tambahan lain seperti Tomiyam si anak ayam, Putih si kucing, Dak Man si katak tempang, Tok Janggut si kambing tua, Pak Pelanduk kawannya serta Pak Beruang dan Pak Belit yang jahat. Cerita juga sering dimasukkan watak Ibu Kuntum, Ibu Chot (Mak C) dan Mak Atan.

No comments:

Post a Comment